Tingkatan Enam- Apa Yang Anda Perlu Tahu
Assalamualaikum dan Salam sejahtera. Saya ingin berkongsi tentang laluan prauniversiti STPM. STPM ini sudah ada di Malaysia sejak berpuluhan tahun lamanya, namun demikian masyarakat masih tidak begitu arif tentangnya walaupun pelajar STPM adalah bilangan pelajar paling ramai di Universiti Awam (UA). Mengapa ini terjadi? Terlebih dahulu saya ingin menceritakan tentang hala tuju selepas SPM.
Pengajian pelajar lepasan SPM seterusnya adalah pengajian prauniversiti. Terdapat banyak bidang prauniversiti yang ditawarkan di Malaysia iaitu STPM, STAM, Matrikulasi KPM, Asasi UA, Diploma UA, Diploma Politeknik, Diploma IPTS dan lain-lain laluan prauniversiti. Jadi yang manakah menjadi pilihan pelajar-pelajar lepasan SPM yang berminat untuk menyambung pengajian ke peringkat prauniversiti?
Pelajar-pelajar lepasan SPM yang menetap di kawasan Lembah Klang (Selangor, WP Kuala Lumpur dan WP Putrajaya) akan memilih program pengajian prauniversiti yang menawarkan pengajian di kolej dan memiliki kolej kediaman. Program prauniversiti seperti Asasi/Matrikulasi dan Diploma akan menjadi pilihan utama mereka setelah menamatkan SPM. Pemikiran sebegini sudah ditanam dalam masyarakat di Lembah Klang oleh kerana mereka memikirkan bahawa peperiksaan SPM adalah peperiksaan 'High School' yang setaraf dengan peperiksaan-peperiksaan lain di negara asing. Oleh itu mereka tidak memilih laluan STPM kerana dianggap tiada 'kelas' dan peperiksaan STPM itu sendiri adalah sukar jika dibandingkan dengan peperiksaan-peperiksaan prauniversiti yang lain. Tanggapan sebeginilah yang perlu dibuang oleh masyarakat.
Stigma masyarakat terhadap STPM ini sememangnya membuktikan masyarakat Malaysia kurang membaca dan tidak mengambil maklum tentang perkembangan semasa berkaitan dengan isu pendidikan. Mereka masih mengekalkan pandangan 'orang-orang dulu' tanpa berusaha sekalipun dalam menyelidik tentang sesuatu perkara itu dengan baik. Pelajar lepasan STPM ialah pelajar yang paling ramai sekali di Universiti Awam di Malaysia. Hal ini dikatakan demikian kerana jika dibandingkan calon STPM dengan calon Matrikulasi, pelajar STPM mempunyai seramai 40 ribu lebih manakala Matrikulasi hanya 25 ribu lebih dan peratus kemasukan ke Ijazah Pertama/Ijazah Sarjana Muda pelajar STPM mendahului bilangannya berbanding pelajar Matrikulasi. Pasti pembaca bertanya, mengapakah STPM sering kali dibandingkan dengan Matrikulasi? Hal ini disebabkan STPM dan Matrikulasi ialah peperiksaan komprehensif iaitu pelbagai berbeza dengan Asasi dan Diploma yang khusus pada bidang pengajian yang berkaitan sahaja. Jadi, oleh kerana pelajar STPM ramai di Universiti Awam mengapakah masyarakat beranggapan STPM ini 'tiada kelas' dan 'susah' ?.
Apa itu STPM? STPM ialah Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia, sebelum tahun 1985 STPM dikenali sebagai Higher School Certificate (HSC). Hal ini membuktikan bahawa laluan ini adalah laluan prauniversiti terlama di Malaysia. STPM adalah setaraf dengan A-Levels University of Cambridge, United Kingdom. Oleh itu, sijil STPM ini layak digunakan untuk kemasukan ke mana-mana universiti di luar negara tidak seperti laluan prauniversiti yang lain yang terhad.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Pelan Pembangunan Pendidikan (PPP) 2013-2025 menjenamakan semula pendidikan tingkatan enam melalui beberapa perubahan. Penjenamaan semula ini telah menyumbang besar kepada peningkatan pelajar SPM memilih tingkatan enam berbanding laluan prauniversiti yang lain. Boleh dikatakan tiap-tiap tahun terdapat peningkatan calon STPM berdasarkan statistik yang dirangkakan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) tiap kali pengumuman keputusan peperiksaan STPM. Untuk masyarakat yang tidak arif tentang pembaharuan ini, lihatlah kepada senarai yang dikemukakan di bawah:
Bahagian 1: Peperiksaan STPM
1. Peperiksaan STPM dipecahkan kepada tiga semester iaitu semester 1, semester 2 dan semester 3 yang mana peperiksaan tersebut diperiksa oleh MPM serta dilengkapkan dengan kerja kursus yang diperiksa berdasarkan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) iaitu dibimbing oleh guru-guru mata pelajaran.
2. Tiap-tiap peperiksaan itu penting dan markah setiap peperiksaan itu akan dikira dan akan menjadi slip keputusan STPM pada keputusan STPM semester 3. Pelajar STPM boleh mengulang semula mata pelajaran yang dikehendaki untuk peperiksaan semester 1 dan semester 2. Peperiksaan semester 3 tidak dibenarkan untuk diulang manakala markah kerja kursus ditetapkan oleh guru mata pelajaran dan akan diserahkan kepada pihak MPM.
3. Pemilihan mata pelajaran. Mata pelajaran Pengajian Am wajib diambil oleh setiap calon STPM tidak kira calon STPM yang mana sekalipun. Bagi mata pelajaran lain pula ditetapkan oleh pihak Pusat Tingkatan Enam masing-masing berdasarkan pakej. Terdapat syarat kemasukan ke STPM yang utamanya ialah mendapat gred C bagi Bahasa Melayu dan lulus Sejarah serta ada pengiraan bagi kemasukan ke aliran Sains dan aliran Sains Sosial. Terdapat 23 mata pelajaran STPM:
1. Pengajian Am (WAJIB)
2. Bahasa Melayu
3. Bahasa Arab
4. Bahasa Cina
5. Bahasa Tamil
6. Kesusasteraan Melayu Komunikatif
7. Literature in English
8. Geografi
9. Sejarah
10. Ekonomi
11. Pengajian Perniagaan
12. Perakaunan
13. Biology
14. Chemistry
15. Physics
16. Mathematics (T)
17. Mathematics (M)
18. Information Communication and Technology (ICT)
19. Usuluddin
20. Syariah
21. Tahfiz Al-Quran
22. Sains Sukan
23. Seni Visual
Berapa banyak subjekkah yang seseorang pelajar tingkatan enam itu perlu ambil? Jawapannya hanya 4 subjek minimum dan maksimum 5 subjek. Setiap pusat tingkatan enam akan menyediakan pakej 4 subjek sahaja hal ini kerana hanya 4 subjek terbaik akan dikira markah untuk mendapatkan PNGK 0-4.00. Mereka yang ambil 5 subjek ini selalunya untuk menambah subjek.
Bahagian 2: Suasana persekitaran tingkatan enam
1. Tiada lagi pemakaian uniform. Melalui pembaharuan tingkatan enam ini pelajar tingkatan enam bebas memakai pakaian yang 'smart casual' yang sopan. Misalnya pelajar lelaki boleh memakai baju kemeja, bertali leher, seluar slack dan kasut yang sesuai manakala pelajar perempuan memakai baju kurung atau apa-apa pakaian yang sopan. Pembaharuan ini telah menarik minat pelajar SPM memasuki ke tingkatan enam seolah-olah berada di kolej.
2. Kolej tingkatan enam/pusat tingkatan enam. Perkara ini mesti masyarakat kurang arif malah tidak tahu langsung bahawa pelajar tingkatan enam mempunyai kolej tersendiri. Mulai tahun 2016 terdapat banyak pusat-pusat tingkatan enam telah dijadikan sebagai kolej tingkatan enam iaitu sebuah pusat yang hanya menempatkan pelajar tingkatan enam sahaja. Kolej tingkatan enam itu dahulunya dipanggil sebagai Pusat Tingkatan Enam Mod 1. Selain KTE (Kolej Tingkatan Enam) terdapat juga Pusat Tingkatan Enam Mod 2 dan Pusat Tingkatan Enam Mod 3. PTE Mod 2 menempatkan pelajar tingkatan enam bersama-sama dengan murid-murid arus perdana dan ditadbir pengetua arus perdana dan mempunyai penolong kanan tingkatan enam. Di PTE Mod 2 ini terdapat sekurang-kurangnya 12 kelas tingkatan enam. PTE Mod 3 pula menempatkan pelajar tingkatan enam bersama-sama dengan murid arus perdana dan ditadbir oleh pengetua arus perdana dan mempunyai penolong kanan tingkatan enam. Di PTE Mod 3 ini terdapat kurang daripada 12 kelas tingkatan enam. Pasti ramai menanyakan di manakah Kolej Tingkatan Enam ini? Berikut adalah senarai:
1. KTE Sultan Sallehuddin, Kedah
2. KTE Kulim, Kedah
3. KTE Desa Murni, Pulau Pinang
4. KTE Haji Zainul Abidin, Pulau Pinang
5. KTE Hulu Terengganu, Terengganu
6. KTE Seri Putera, Perak
7. KTE Seri Ipoh, Perak
8. KTE Tapah, Perak
9. KTE Tunku Abdul Rahman Putra, Selangor
10. KTE Sultan Abdul Aziz, Selangor
11. KTE Petaling Jaya, Selangor
12. KTE Bandar Utama, Selangor
13. KTE Puchong, Selangor
14. KTE Shah Alam, Selangor
15. KTE Sri Istana, Selangor
16. KTE Desa Mahkota, WP Kuala Lumpur
17. KTE Pudu Jaya, WP Kuala Lumpur
18. KTE Tun Fatimah, Melaka
19. KTE Pontian, Johor
20. KTE Kota Kinabalu, Sabah
21. KTE Datuk Pengiran Galpam, Sabah
22. KTE Tawau, Sabah
23. KTE Saratok, Sarawak
Nota: pelajar SPM tidak perlu berdaftar untuk memasuki ke tingkatan enam sebaliknya tawaran itu adalah secara automatik sekiranya melepasi syarat kemasukan ke STPM. Dari surat tawaran itu pelajar boleh ketahui di manakah pusat tingkatan enam yang akan mereka ditempatkan.
Dengan di atas kita sudah mempunyai sedikit sebanyak pengetahuan secara ringkas berkenaan dengan pembaharuan yang telah dilaksanakan oleh KPM. Segala makluman tentang peperiksaan STPM anda boleh dapatkan ia di laman web rasmi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM).
Selain peperiksaan STPM pelajar tingkatan enam juga diwajibkan mengambil peperiksaan Malaysian University English Test (MUET). MUET adalah salah satu syarat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah pertama. MUET pun telah diperbaharukan mulai tahun 2021. Apakah pembaharuannya? Sebelum ini markah atau wajaran (percentage) bagi setiap ujian MUET adalah tidak seimbang. MUET yang terdiri daripada Speaking Test dan Written Test (Writing, Listening and Reading) mempunyai wajaran sebanyak 25%. Maka setiap ujian adalah penting. Salah satu kelebihan pelajar tingkatan enam ialah mereka dibekalkan oleh guru yang mengajar MUET. Mereka diwajibkan untuk menghadiri sesi pembelajaran yang dikendalikan oleh guru MUET. Perkara ini telah menguntungkan pelajar tingkatan enam untuk memantapkan lagi penguasaan bahasa inggeris mereka. Bagi pelajar prauniversiti yang lain tidak terdapat layanan seperti ini. Selain itu pelajar tingkatan enam tidak perlu bersusah payah mendaftar dan menumpang mana-mana pusat peperiksaan MUET tidak seperti pelajar Diploma, Matrikulasi dan lain-lain. Dalam setahun terdapat sebanyak 3 kali sesi MUET. Bergantung pada pihak KTE/PTE untuk menetapkan sesi manakah pelajar akan ambil MUET.
Persoalan seterusnya. Kita dikatakan 'habis belajar' apabila menamatkan pengajian peringkat Ijazah Pertama bukan? Oleh yang demikian, mengapa tidak memilih laluan tingkatan enam daripada laluan-laluan prauniversiti yang lain yang panjang tempoh pengajiannya dan mahal kos pengajiannya? Persoalan ini ditujukan kepada pelajar-pelajar SPM yang memilih laluan Diploma. Diploma tempoh pengajiannya adalah 3-2 tahun bergantung pada institusi pengajian mereka. Jika Diploma di UA dan Politeknik Premier tempoh pengajian boleh dikurangkan daripada 3 tahun ke 2 tahun sekiranya memilih bidang pengajian yang sama di peringkat ijazah sarjana muda. Contohnya, Diploma Pengajian Perniagaan ke Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan. Tetapi bagi pelajar Diploma Politeknik Konvensional pula mereka tetap perlu menamatkan pengajian selama 3 tahun juga. Hal yang sama di Diploma IPTS. Target utam kita adalah untuk memperoleh Ijazah Sarjana Muda (Bachelor's Degree) mengapa tidak memilih STPM yang mana pengajiannya hanyalah 1 tahun setengah. Selain daripada tempoh pengajian yang singkat kos pengajiannya juga pun sama. Pelajar SPM tidak perlu membayar apa-apa pun untuk memasuki ke tingkatan enam dan menduduki STPM. Pelajar tingkatan enam masih di bawah tanggungan ibu bapa dan pusat tingkatan enam kebiasaanya tidak terletak jauh daripada tempat tinggal. Mereka hanya perlu membayar yuran-yuran tertentu yang tidak mahal mana pun (PIBG, Orientasi dan lain-lain), buku-buku rujukan dan latihan (Semester 1, 2 dan 3) (Nota: Tiada buku teks KPM bagi STPM, pelajar bebas memilih buku apa yang hendak dibeli atau disyor guru), duit belanja (makan dan minum) dan pakaian. Itu sahaja. Buat apa dibelanjakan beribu-ribu ringgit Malaysia untuk sebuah program prauniversiti yang akhirnya menyambung Ijazah Sarjana Muda juga.
Demikian sedikit sebanyak maklumat-maklumat yang perlu diketahui oleh pelajar/orang awam tentang STPM. Selepas daripada hantaran ini saya akan menulis tentang perkara-perkara berkaitan dengan STPM yang boleh membantu anda semua. Sekian terima kasih.
Ulasan
Catat Ulasan